Ahad, 6 Disember 2020

Pemegang ijazah warga Malaysia yang kerja di Singapura ini kongsi pengalaman sebagai Pengutip Sampah

SINGAPURA: "Mencintai apa yang anda lakukan akan menghasilkan sesuatu yang terbaik.
"Sekiranya anda belum menemuinya, terus mencari. Jangan mudah terus berpuas hati", kata-kata inspirasi yang pernah dilafazkan oleh Steve Jobs, pengasas bersama Apple Inc mungkin dapat menggambarkan nasib seorang warga Malaysia yang baru sahaja membina kerjaya di Singapura.
 
Baru-baru ini, Muhammad Khidir Samsudin dan rakan sekerjanya Mohd Yuamirul Che Yusoff, hangat diperbualkan di media sosial kerana bertindak jujur memulangkan peranti iPad Pro milik seorang warga Singapura yang ditemui di dalam tong kitar semula.

Pada Rabu (2 Dis), wanita itu yang dikenali sebagai Michelle Lim, merakamkan penghargaannya kepada dua orang jejaka itu melalui satu catatan Facebook yang turut melampirkan kiriman mesej oleh Muhammad Khidir yang memaklumkan kepadanya akan penemuan peranti tersebut yang hilang pada tahun lalu.

Namun, apa yang menarik perhatian Bernama adalah bagaimana Muhammad Khidir, atau turut dikenali sebagai Eday, 25 tahun, memperkenalkan dirinya sebagai 'seorang pengutip sampah' kepada wanita itu dalam kiriman mesej itu.

Ini meskipun Eday merupakan seorang pemegang ijazah Pembangunan Sains dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang berasal dari Batu Pahat, Johor.

Apabila dihubungi Bernama, Eday berkata bahawa tidak salah untuknya mendapatkan pengalaman bermula dari bawah dalam sektor pengurusan sisa.

“Ini menjadikan saya lebih memahami proses kerja dan akan lebih menghargai orang bawahan saya satu hari ini,” katanya yang berhasrat menimba pengalaman di Singapura selama tiga tahun dan bersyukur kerana mendapat restu dari kedua orang ibubapanya.

BEKERJA DI S'PURA LEBIH LUMAYAN KERANA MATAWANG LEBIH KUKUH

Apabila ditanya mengapa beliau tidak melakukan pekerjaan yang sama di Malaysia, Eday mendedahkan bahawa pendekatan serampang dua mata itu juga mengambil kira kelebihan mata wang Singapura yang lebih kukuh pada masa ini.

“Apa yang saya dapat di sini setiap hujung bulan, melebihi gaji eksekutif muda di Malaysia. Lagipun, untuk menjadi eksekutif di Malaysia, ia memerlukan sekurang-kurangnya pengalaman kerja selama tiga tahun.

“Sekiranya saya kembali ke Malaysia satu hari nanti, saya boleh menceritakan bahawa saya mempunyai pengalaman bekerja dalam syarikat asing juga,” katanya yang kini bekerja di SembWaste Pte Ltd, sebahagian daripada Sembcorp Group, sebuah kumpulan tenaga, pembangunan bandar dan marin terkemuka.

Menurut Eday, ini bukanlah pekerjaannya yang pertama kerana semasa di Malaysia, beliau pernah melakukan banyak kerja sambilan seperti bekerja sebagai guru sementara di Batu Pahat, selain berniaga kecil-kecilan berkaitan kostum maskot.

Sementara itu, Cik Lim pula merasakan bahawa Eday dan Yuamirul, 26 tahun, berhak mendapatkan 'pekerjaan yang lebih memuaskan'.

Menulis dalam catatan sama yang sudah dikongsi lebih daripada 100 kali, Cik Lim memuji kedua-dua lelaki itu kerana bersikap rajin, jujur dan merendah diri.

Selain itu katanya, mereka merupakan pemegang ijazah, dapat bertutur dan menulis dengan baik.

Sebelum mengakhiri catatannya, Cik Lim menyeru bantuan orang ramai supaya mengongsikan catatannya itu dengan harapan kedua-dua pemuda itu diberi peluang untuk melakukan tugas yang sepadan dengan kebolehan mereka.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Aliff Aziz minta maaf(Video)

  [VIDEO] Gagal Tahan Sebak Minta Maaf Pada Isteri, Aliff Aziz Perjelas Tindakan Dedah Kes ‘Curang’ Bella Astillah… – “Masa Tu Saya Rasa Mar...