Popcash

Rabu, 15 Disember 2021

Kanak-Kanak 8 Tahun Dikenal Pasti Kes Pertama Omicron Libatkan Rakyat Malaysia

 KUALA LUMPUR – Kes pertama varian yang dibimbangi (VoC) Omicron melibatkan rakyat tempatan dikesan di negara ini.



Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memberitahu, kes yang baharu dikesan ini merupakan seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang menetap bersama keluarganya di Lagos, Nigeria.  Difahamkan keputusan ujian RT-PCR COVID-19 ke atas kes sebelum berlepas ke Malaysia adalah negatif.

“Kanak-kanak ini tiba di Malaysia bersama ibu dan adik perempuannya pada 5 Disember 2021 dari Lagos, Nigeria dengan penerbangan transit di Doha, Qatar.

“Kes dan ahli keluarganya telah menjalani ujian RT-PCR COVID-19 semasa ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya pada sidang akhbar di Parlimen di sini, hari ini.

“Kes tidak mempunyai gejala dan jalani isolasi 14 hari. Manakala ujian terhadap ibu dan adik perempuan menunjukkan keputusan negatif.”

Sementara itu, 35 kontak rapat dalam penerbangan adalah negatif. Punca jangkitan kes masih dalam siasatan.






Tak Nak Ambil Dos Penggalak? Status Vaksinasi Anda Akan Bertukar Kepada ‘Tidak Lengkap!’ – KJ

 Sebelum ini, Kementerian Kesihatan ada buat kajian sama ada mahu menjadikan dos penggalak sebagai syarat lengkap vaksinasi ataupun tidak.



Kini, Khairy Jamaluddin telah menyatakan mana-mana individu penerima vaksin Sinovac yang sudah lengkap dua dos vaksinasi akan ditukarkan statusnya kepada ‘tidak lengkap’ jika tidak mengambil booster shot.

Perlu dapatkan dos penggalak sebelum atau pada Februari 2022

Menerusi laporan Kosmo, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyatakan, selepas status ditukar kepada tidak lengkap, automatik individu tersebut tidak layak menerima kemudahan yang diberikan kepada penerima dos lengkap Covid-19.

Status vaksinasi itu akan ditukarkan kepada tidak lengkap jika individu penerima vaksin Sinovac dan mereka yang berusia 60 tahun ke atas tidak mendapatkan suntikan dos penggalak selepas Februari 2022.

Sehingga hari ini, Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) telah meluluskan vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech, vaksin CoronaVac keluaran Sinovac dan vaksin AstraZeneca untuk digunakan sebagai dos penggalak.

Lanjutan daripada itu, pihak Jawatankuasa Kerja Teknikal (TWG) telah mengesyorkan dos penggalak diberikan kepada semua penduduk berusia 18 tahun dan ke atas.

Khairy menjelaskan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui Strategic Advisory Group of Experts on Immunisation (SAGE) mencadangkan untuk penerima dua dos lengkap Sinovac dan mereka yang berusia 60 tahun perlu mengambil dos penggalak, tanpa mengira jenis vaksin siri primer yang terdahulu.

Keperluan itu adalah bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap dan cadangan ini telah disahkan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19-Booster (CITF-B) pada 8 Disember lalu.

Sehubungan itu, individu dalam kumpulan yang dinyatakan di atas iaitu semua penerima dos lengkap vaksin Sinovac dan individu berusia 60 tahun ke atas perlu mendapatkan suntikan dos penggalak selewat-lewatnya pada Februari 2022.

Jadi, siapa yang dah berpeluang untuk dapatkan dos penggalak, jangan ditangguh lagi. Terus dapatkan dos ketiga itu untuk pastikan status vaksinasi anda kekal lengkap. Sekarang pun dah banyak klinik dan pusat pengambilan vaksin (PPV) buat walk-in untuk booster shot ni. Dah tak ada alasan untuk tak ambil okay?

Kredit: Kosmo





Plaza Tol Akan Hentikan Penggunaan Kad Touch ’n Go Dan SmartTAG Secara Berperingkat

 Kementerian Kerja Raya Malaysia pada hari ini telah mengumumkan kaedah pembayaran tol yang digunakan ramai iaitu kad Touch ’n Go dan SmartTAG akan dihentikan secara berperingkat dalam memberi peluang untuk lebih banyak lorong RFID disediakan di lebuh raya.



Difahamkan langkah ini dibuat dalam membolehkan para pengguna lebuh raya menikmati pengalaman perjalanan yang lebih lancar seiring dengan perkembangan teknologi kini menerusi penggunaan RFID.

Pemilihan ini dibuat seiring dengan hasrat kerajaan dalam melaksanakan laluan tol tanpa palang dalam beberapa tahun lagi sekaligus dapat mengurangkan kesesakan di plaza tol.



Sebelum ini pihak PLUS turut memaklumkan akan memperbanyakkan laluan tol dengan kaedah pembayaran RFID dalam memudahkan pengguna. Melihat kepada perkembangan yang dibuat pihak kerajaan dan PLUS, pastinya pengguna lebuh raya perlu bersedia dalam menggunakan RFID pada kereta yang dipandu.



Penampilan terkini bekas MB Selangor tampak berbeza

 SHAH ALAM - Penampilan terbaharu bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengejutkan banyak pihak susulan keadaan fizikalnya yang semakin susut.



Gambar beliau di samping isteri, Puan Sri Salbiah Tunut bersama anak dan cucunya itu dirakam sewaktu menyambut hari lahir ke-75.



Menerusi kemas kini di Facebook itu, beliau memanjatkan kesyukuran kerana diberikan kesempatan menyambut hari kelahirannya bersama keluarga di rumah.


"Syukur alhamdulillah saya telah diberi kesempatan menyambut hari lahir di rumah semalam (Selasa) bersama Salbiah, Iqbal, Aida serta Arif.


"Terima kasih di atas ucapan selamat daripada semua teman melalui WhatsApp dan media sosial," katanya.


Beliau turut memohon maaf susulan tidak dapat membalas setiap kiriman mesej yang diterimanya itu.


"Maka di sini saya mengambil kesempatan untuk turut berdoa agar kita semua di dalam rahmat ALLAH SWT serta diberikan umur yang panjang dan bermanfaat dengan kesihatan yang baik. Amin," tulisnya.

Abdul Khalid pernah menyandang jawatan Menteri Besar Selangor selama enam tahun bermula 13 Mac 2008 hingga 22 September 2014.


Beliau dipecat sebagai MB Selangor oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum jawatan itu digantikan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.


Sebelum menyandang jawatan menteri besar, beliau merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysianized Guthrie yang kini dikenali sebagai Kumpulan Guthrie Bhd dari 1995 hingga 2003.


TMJ bidas Dr M 'tak jujur' dalam isu Statut Rom, ICERD

 Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad didakwa tidak jujur dalam isu Statut Rom dan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), kata Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.



Tunku Ismail berkata hal itu menjadi sebab baginda menentang Statut Rom dan ICERD yang ingin disertai kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Mahathir ketika itu.

"Saya dididik dari kecil lagi untuk sentiasa menghormati semua agama dan juga rakyat berbilang kaum. Saya dan keluarga saya juga telah banyak memberi sumbangan kepada rakyat pelbagai kaum dan agama, serta akan terus membantu kebajikan semua kaum.

"Tetapi saya juga adalah seorang bangsa Melayu dan tidak lupa akan tugas saya untuk mempertahankan agama Islam. Itulah sebab saya menentang Statut Rom dan ICERD.

Berkenaan isu Statut Rom dan ICERD ini, Tun Mahathir bukan sahaja tidak jujur kepada Majlis Raja-Raja, tetapi Tun juga tidak jujur sepenuhnya kepada rakyat Malaysia.

"Perkara yang dibuat secara tergesa-gesa pada ketika itu akan mengugat kesejahteraan rakyat dan menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu," tulis baginda dalam satu hantaran di Facebooknya.

Tunku Ismail berkata, baginda amat berbesar hati kepada Mahathir kerana turut mengatakan mengenainya dalam buku terkini yang ditulis ahli Parlimen Langkawi itu berjudul, 'Capturing Hope'.

Bagaimanapun, kata TMJ dengan menyerang institusi diraja, Mahathir tidak akan dapat menyelesaikan masalah-masalah negara yang telah dicipta sendiri olehnya termasuk isu perpecahan dan asimilasi kaum.

Cadangan kerajaan untuk meratifikasikan ICERD menerima kecaman dan tekanan hebat daripada Umno, PAS dan orang Melayu.

Ia membawa kepada satu perhimpunan secara besar-besaran di Dataran Merdeka Kuala Lumpur bagi membantah ratifikasi ICERD.

Isu Statut Rom dan ICERD adalah satu daripada dua perjanjian yang menyebabkan PH dikritik.

Dalam pada itu TMJ berkata, satu lagi pengkhianatan kepada rakyat Malaysia adalah apabila janji-janji yang dibuat kepada rakyat tidak ditunaikan.

"Apa-apapun saya berdoa semoga Tun panjang umur, sentiasa menghormati semua kaum di Malaysia dan berpegang teguh kepada Perlembagaan Negara.

"'I will see you soon, Tun (Saya jumpa anda nanti, Tun)," katanya lagi.

Pada 23 Nov 2018, kerajaan PH mengambil keputusan untuk tidak meratifikasi ICERD selepas beberapa minggu berlakunya demonstrasi.

ICERD yang diusahakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1965 bertujuan menangani masalah perkauman, khususnya pemerintahan apartheid di Afrika Selatan ketika itu.

Pun begitu, ramai di Malaysia melihat konvensyen antiapartheid itu sebagai satu ancaman terhadap kedudukan istimewa orang Melayu (Perkara 153) dan Islam, walaupun "pengecualian" boleh dibuat untuk mengekalkan Perkara 153.

Secara keseluruhan, sehingga Nov lalu sebanyak 179 negara di seluruh dunia meratifikasi Icerd berbanding 18 buah yang belum.

Semua negara Islam telah meratifikasi Icerd, kecuali Malaysia dan Brunei.

Dalam perkembangan berkaitan, pada 6 April 2019, kabinet PH memutuskan Malaysia menarik diri daripada perjanjian Statut Rom yang diambil bersempena persidangan diplomatik di Itali pada 1998.

Statut Rom adalah satu treati (perjanjian) rasmi antara negara-negara dalam mengiktiraf Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sebagai pelengkap kepada undang-undang sedia ada negara pihak (state party) untuk mendakwa individu yang melakukan jenayah antarabangsa.

Sehingga 4 Mac 2019, sebanyak 124 negara telah menjadi negara pihak kepada Statut Rom.




Senarai Lengkap Harta Sajat Yang Dilelong


 

Selasa, 14 Disember 2021

Suami baran pecahkan cermin kereta depan anak-anak

 


PETALING JAYA – Tindakan seorang lelaki memecahkan cermin kenderaan dipercayai dinaiki isteri dan dua anaknya tular di media sosial hari ini.

Menerusi perkongsian video oleh wanita dikenali sebagai Amira di laman Facebook, lelaki itu dilihat menghampiri kenderaan itu untuk memberikan wang kepada anaknya.

Aksi itu dirakam oleh wanita yang juga pemandu kereta tersebut.

Pemandu itu bagaimanapun dilihat seperti ketakutan apabila hanya membuka ruang tingkap sedikit sahaja bagi membenarkan tangan lelaki itu masuk menghulurkan duit kepada kanak-kanak tersebut.

Tiba-tiba lelaki itu naik angin dan memaut pada tingkap sehingga pecah. Dua kanak-kanak yang berada dalam kenderaan itu menangis ketakutan.

Dalam hantaran sama, wanita tersebut memaklumkan dia sudah melaporkan kejadian kepada polis dan lelaki tersebut yang merupakan suaminya juga sudah ditahan.

Pasangan itu dipercayai dalam proses perceraian dan sudah tidak tinggal sebumbung sejak April lalu.

“Pasal apa buka tingkap suku sahaja? Sehari sebelum kejadian, dia bawa lari beg dokumen aku yang ada dalam kereta.

“Kalau buka penuh, memang kena jeratlah macam sebelum ini. Lagipun aku berhati-hati kali ini sebab dia pernah ugut nak ambil kereta, siap kata nak bakar lagi.

“Sebelum ini juga dah berkali-kali jadi berebut kunci kereta dengan aku, sampai buang angin tayar kereta pun ada,” ujarnya.

Tinjauan Kosmo! di ruang komen mendapati rata-rata pengguna mengecam tindakan lelaki tersebut yang dikatakan mampu memberi trauma kepada anak-anak yang masih kecil.

“Kasihan pada anak-anak. Jangan ingat mereka kecil lagi, mereka boleh lupa apa yang jadi. Berbincanglah elok-elok, jangan biar anak jadi mangsa,” kata Lis.

“Tak sepatutnya berlaku di depan anak-anak. Jelas kelihatan seorang lelaki yang panas baran, harap wanita ini tabah,” kata Qasrina. – K! ONLINE








Rabu, 24 November 2021

Siasat dakwaan guru belum divaksin diasingkan ke stor

 Ipoh: Siasatan terperinci akan dijalankan membabitkan dakwaan seorang individu yang mengaku guru sebuah sekolah menengah di sini, diasingkan di stor menyimpan barangan pekerja pembersihan kerana belum menerima vaksinasi Covid-19.



Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, siasatan dijalankan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak manakala Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga sudah dimaklumkan mengenainya.

Beliau berkata, laporan penuh siasatan akan dimaklumkan dalam masa terdekat oleh pihak KPM.

"Kerajaan negeri juga mengambil perhatian serius dakwaan ini kerana ia turut membabitkan aspek kesihatan serta kebajikan guru.

"Ia bagi memastikan semua pihak berada dalam keadaan sihat dan bebas daripada pandemik. Kerajaan negeri ingin memastikan semua pihak sama ada guru, pelajar dan ibu bapa berada dalam keadaan sihat," katanya dihubungi melalui aplikasi WhatsApp di sini, hari ini.

Terdahulu, tular rakaman video berdurasi tiga minit berkaitan perkara terbabit di aplikasi TikTok sebelum tular di Facebook.

Menerusi rakaman itu, individu terbabit berkata, dia pada mulanya diasing dan ditempatkan pihak sekolah di stor pendidikan jasmani sebelum ditukarkan ke stor berkenaan.

Menurutnya, stor terbabit hanya mempunyai meja dan kipas namun tiada kerusi serta palam untuk menggunakan barangan elektronik termasuk komputer riba.

Katanya, bilik berdindingkan zink itu juga menyebabkan dia kepanasan.




Isnin, 22 November 2021

Guru boleh dihukum sekiranya berleter terhadap murid

 Sebagai ingatan kepada cikgu-cikgu terutamanya sekolah rendah yang bakal memulakan sesi persekolahan secara bersemuka penuh bermula 22 November ini.



Berleter di dalam kelas juga adalah dilarang kerana merupakan salah satu bentuk hukuman yang akan memberi kesan kepada mental dan emosi murid.

Senarai yang dikeluarkan oleh Unit Disiplin KPM ini adalah berdasarkan kepada aduan yang diterima daripada ibu bapa yang tidak membenarkan guru-guru untuk menyentuh dan menghukum anak-anak mereka.

Berhati-hatilah kerana hukuman undang-undang telah tersedia untuk menghukum cikgu-cikgu yang cuba melawan arus.

Tugas guru sekarang hanyalah semata-mata penyampai ilmu dan tidak lebih daripada itu.

Ibu bapa pula merupakan insan yang paling banyak bersama anak-anak dan tentunya sangat kenal dengan peribadi setiap anak-anak mereka.



Akhirnya, guru dan ibu bapa ada tanggungjawab masing-masing.

Sekiranya ibu bapa memberi tanggungjawab kepada guru untuk mendidik anak-anak mereka tentang adab, maka berilah autonomi kepada guru-guru untuk melakukannya selagi mana tidak keterlaluan.

In shaa Allah peringatan ini adalah peringatan kepada diri sendiri sebagai seorang guru dan juga sebagai seorang bapa kepada murid.

Semoga kita semua dipermudahkan segala urusan.





Ahad, 21 November 2021

Pengerusi DAP Melaka letak jawatan

 MELAKA: Tidak sampai 24 jam keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak menyebelahi Pakatan Harapan (PH), Datuk Tey Kok Kiew mengumumkan perletakan jawatan sebagai Pengerusi DAP negeri berkuat kuasa serta-merta.



Menurut Kok Kiew, beliau mengambil rasa tanggungjawab dengan kekalahan DAP terhadap separuh daripada lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi dalam pilihan raya itu.

Beliau juga memohon maaf terhadap kegagalan PH untuk membentuk kerajaan negeri.

Bagaimanapun Kok Kiew memaklumkan beliau kekal sebagai ahli DAP.

“Kita bukan sahaja gagal membentuk kerajaan negeri yang baharu, malah lapan kerusi yang kita menangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berkurangan.

“Ini adalah keputusan peribadi saya. Saya ingin memohon maaf kepada ahli DAP, rakan sekutu PH dan penyokong kami kerana gagal mencapai sasaran kami.

“Sebagai ketua negeri mesti bertanggungjawab sepenuhnya. Maka dengan ini mengumumkan saya meletakkan jawatan sebagai ketua negeri berkuat kuasa serta-merta,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Keputusan PRN Melaka semalam menyaksikan DAP hanya menang empat kerusi berbanding lapan DUN ketika PRU-14 sekali gus memberi tamparan hebat kepada parti itu.

Malah Kok Kiew turut kalah di DUN Bemban apabila kerusi itu dimenangi oleh calon Perikatan Nasional (PN). – UTUSAN ONLINE

Khamis, 18 November 2021

Tengku Zafrul, 3 lagi menteri dilapor antara yang bantah rumah RM100 juta Najib

KUALA LUMPUR: Beberapa menteri termasuk Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dikatakan antara yang membantah tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, untuk meluluskan pemberian tanah premium dan rumah mewah kepada Datuk Seri Najib Razak.

Portal MalaysiaNow melaporkan, sumber yang rapat dengan beberapa anggota Kabinet memberitahu selain Tengku Zafrul, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali daripada Bersatu, Khairy Jamaluddin (UMNO) dan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (Pas), turut menyuarakan bantahan.
Namun tidak ada pengesahan yang diperoleh daripada mereka berhubung bantahan tersebut.
Terdahulu Tengku Zafrul sewaktu menggulung perbahasan Bajet 2022 di Dewan Rakyat mengesahkan, kerajaan menerima permohonan daripada Najib untuk mendapatkan hartanah bernilai RM100 juta di ibu negara.
Najib dalam reaksi balasnya di Facebook mendakwa ia adalah propaganda untuk menghasut rakyat Melaka membencinya.
Katanya, beliau bukan meminta hadiah RM100 juta daripada kerajaan atau menyuruh kerajaan berbelanja untuk membeli tanah, tetapi kediaman seperti diberi kepada kesemua bekas-bekas Perdana Menteri.
"Office saya cuma mohon diberi kediaman selepas PRU14 seperti dalam akta dipinda dia (Tun Dr Mahathir Mohamad).
"Kerajaan beri tiga bidang tanah kerajaan untuk pilih maka saya pilih satu. Tanah kerajaan dekat Dewan Bahasa dan Pustaka sebab keluarga saya rasa lokasi itu paling sesuai bagi mereka.
"Bukan sudah diluluskan kerajaan hari ini pun. Bukan saya minta hadiah RM100 juta dari kerajaan atau suruh kerajaan belanja untuk beli tanah tetapi kediaman seperti diberi kepada kesemua bekas-bekas Perdana Menteri," katanya.


Isnin, 15 November 2021

Pengetua sekolah salah guna kuasa tetap dipenjara

 PUTRAJAYA - Seorang pengetua sekolah menengah terpaksa meringkuk di dalam penjara selama tiga bulan selepas gagal dalam rayuan terakhirnya untuk mengetepikan sabitan bagi tiga pertuduhan salah guna kuasa membabitkan pembekalan peralatan untuk aktiviti sekolah bernilai RM6,591.65 kira-kira empat tahun lepas.


Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Hanipah Farikullah, Datuk M.Gunalan dan Datuk Hashim Hamzah menolak rayuan Norliza Mat Radzi, 53, berhubung sabitan, hukuman penjara tiga bulan dan denda RM40,500 yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Julai 2017.


Hanipah, yang mengetuai panel itu, berkata hukuman penjara yang dijatuhkan ke atas Norliza oleh Mahkamah Sesyen adalah tidak terlalu berat memandangkan tempoh maksimum hukuman penjara bagi kesalahan tersebut ialah 20 tahun.

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Raja Zarina, Pelabuhan Klang itu, yang bebas atas jaminan sementara menunggu rayuan, diperintah menjalani hukuman penjara mulai hari ini.


Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan di sekolah itu antara 12 Februari dan 13 April 2016.


Sebelum ini, Norliza gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi yang mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen.

Dia dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM10,500 bagi pertuduhan pertama iaitu memilih syarikat miliknya sendiri, Orean Collection, untuk menjadi membekalkan alat bantuan mengajar bernilai RM2,091.65.

Bagi pertuduhan kedua iaitu memilih syarikat yang sama untuk membekalkan tuala kecil bagi program ‘Selamatkan Bumi Kita’ bernilai RM500, dia dihukum penjara tiga bulan dan denda RM10,000.

Norliza turut dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM20,000 bagi pertuduhan ketiga iaitu memilih syarikat yang sama untuk membekalkan hamper, set fail, alat tulis dan pingat bagi program Perkhemahan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan 2016 bernilai RM4,000.

Mahkamah Sesyen telah memerintahkan Norliza menjalani hukuman penjara secara serentak. Dia telah membayar denda yang dikenakan terhadapnya.

Norliza diwakili peguam Anwar Ab Raof manakala Timbalan Pendakwa Raya Zaki Asyraf Zubir hadir bagi pihak pendakwaan. - Bernama

Khamis, 11 November 2021

Tinggal kenangan… 26 tahun bawa suara Nobita dalam animasi Doraemon, Yoshiko Ota meninggal dunia akibat serangan jantung

 PEMILIK suara bagi watak Nobita dalam siri animasi popular, Doraemon iaitu Yoshiko Ota meninggal dunia akibat serangan jantung pada usia 89 tahun.



Menurut laporan TodayOnline, Yoshiko menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kanagawa, Jepun pada 29 Oktober lalu.

Bagaimanapun, berita kematiannya itu hanya diumumkan oleh The Theater Echo Company pada Selasa lalu.

Yoshiko menggalas tanggungjawab membawakan suara Nobita sejak tahun 1979 hingga 2005.

Bukan sahaja dalam animasi Doraemon, suara Yoshiko juga pernah digunakan dalam animasi Jungle Emperor Leo membawa watak Leo pada 1966.



Suara Yoshiko turut digunakan di Hollywood sebagai Mary dalam Peter Pan dan watak Vixey dalam The Fox and the Hound.

Atas bakatnya itu, dia pernah menerima anugerah Lifetime Achievement Award 2016 di Tokyo Anime Award Festival.

Yoshiko dilahirkan di pada 25 April 1932 di Hyogo dan mendirikan rumah tangga dengan pelakon alih suara Osamu Saka.

Osamu pula terjun dalam bidang animasi sejak tahun 1947 di bawah pengurusan Takarazuka Revue.

Selasa, 9 November 2021

Hukuman mati pengedar dadah warga Malaysia ditunda setelah positif COVID-19

 SINGAPURA: Hukuman mati ke atas seorang pengedar dadah warga Malaysia ditangguhkan pada Selasa (9 Nov) oleh Mahkamah Rayuan selepas dia diuji positif COVID-19.


Nagaenthran Dharmalingam, yang sudah meringkuk dalam penjara selama 11 tahun sebelum hukuman mati, dibawa ke kandang tertuduh bagi percubaan terakhir untuk menggugurkan hukuman mati terhadapnya.

 Bagaimanapun, lelaki itu kemudian dibawa pergi dan seorang hakim memberitahu mahkamah bahawa Nagaenthran diuji positif COVID-19.


Hakim Andrew Phang, yang tampil bersama dua hakim lain, Judith Prakash dan Kannan Ramesh, berkata "ini agak tidak dijangkakan". Beliau berkata mahkamah berpandangan ia tidak wajar untuk diteruskan "setelah mengambil kira keadaan tersebut".


"Hukuman mati dijadualkan esok," kata Hakim Phang. "... Jika banduan dijangkiti COVID-19... kami berpendapat pelaksanaan hukuman itu tidak boleh dilakukan."


Pihak pendakwa menyatakan ia baru sahaja diberitahu tentang perkembangan itu dan perlu menerima arahan selanjutnya.


"Saya rasa di sini, kami perlu menggunakan logik, akal dan perikemanusiaan," kata Hakim Phang.


Beliau menangguhkan perbicaraan ke satu tarikh yang belum ditetapkan dan mengeluarkan penangguhan terhadap hukuman mati sehingga prosiding dimuktamadkan.


LATAR BELAKANG PERBICARAAN


Peguam M Ravi mengambil alih kes Nagaenthran, 33 tahun, pada saat-saat akhir menjelang hukuman matinya yang dijadualkan pada Rabu.


Permohonan yang dibuat peguam itu pada Isnin adalah untuk semakan kehakiman kes atas alasan Nagaenthran yang dikatakan hilang keupayaan mental ditolak tetapi hakim membenarkan penangguhan sementara pelaksanaan hukuman mati itu sehingga selepas Encik Ravi merayu terhadap penolakan tersebut.


Kes itu berjalan pantas dan rayuan ditetapkan untuk didengar di mahkamah tertinggi negara pada petang Selasa, dengan bilik mahkamah yang penuh sesak termasuk kehadiran media asing dan aktivis tempatan.


Encik Ravi dilihat memeluk seorang rakan peguam selepas penangguhan hukuman gantung diumumkan.


Butiran lanjut mengenai bila Nagaenthran diuji positif bagaimanapun tidak diberikan. Mediacorp sudahpun menghubungi Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) untuk mendapatkan lebih banyak maklumat.


Nagaenthran dijatuhi hukuman mati pada 2010 kerana menyeludup 42.72g heroin ke Singapura pada 2009 dalam satu bungkusan yang diikat pada pahanya. Dia gagal dalam rayuannya kepada Mahkamah Tinggi pada 2011, Mahkamah Agung pada 2019 dan petisyennya kepada presiden untuk mendapatkan pengampunan.


Kes itu menarik perhatian antarabangsa ketika hukuman mati Nagaenthran semakin hampir dengan hari hukuman itu dilaksanakan, dengan petisyen online terhadap hukuman mati itu menarik kira-kira 70,000 tandatangan pada Selasa serta liputan media antarabangsa.


Perdana Menteri Malaysia dilaporkan menulis surat kepada rakan sejawatannya di Singapura berhubung perkara itu, menurut BERNAMA.


Kumpulan hak asasi manusia dan pengasas Virgin Group, Richard Branson, turut menyentuh tentang isu tersebut.

 

Isnin, 8 November 2021

AIR ASIA X : SYARIKAT PENERBANGAN TAMBANG MURAH BERNILAI 1 SEN

 PUBLICINVEST Research telah mengulangi saranan “kurang prestasi”nya ke atas AirAsia X Bhd dengan harga sasaran 1 sen di belakang prospek suram yang berpunca daripada penstrukturan semula hutangnya – dan dengan yang kedua kini diklasifikasikan sebagai syarikat Nota Amalan 17 (PN17).


Pada Jumaat (29 Okt), AirAsia X Bhd mendedahkan bahawa ia kini diklasifikasikan sebagai syarikat PN17 selepas juruaudit luarnya Ernst & Young PLT (EY) menyatakan penafian pendapat mengenai penyata kewangan terauditnya bagi tempoh kewangan 18 bulan berakhir Jun 30, 2021




Syarikat penerbangan bajet itu mempunyai 12 bulan untuk menetapkan keadaan kewangannya, jika gagal, ia akan dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia.

Malah pada masa ini, AirAsia X sedang melaksanakan cadangan penyusunan semula hutang dan korporat serta mencari untuk mendapatkan pembiayaan ekuiti baharu untuk memulakan semula operasinya apabila sempadan antarabangsa dibuka semula.

Mesyuarat pemiutang skim berkenaan dengan cadangan penstrukturan semula hutangnya akan diadakan pada 12 Nov. Sekurang-kurangnya 75% daripada setiap kelas pemiutang skim dalam mesyuarat itu dikehendaki mengundi dengan baik bagi cadangan penstrukturan semula hutang sebelum pelaksanaan cadangan penstrukturan semula korporat dan pengumpulan dana.

Sebagai imbasan, ini bukan kali pertama AirAsia X mencetuskan kriteria PN17. Syarikat saudara AirAsia Group Bhd pada 30 Julai tahun lalu mencetuskan kriteria PN17 selepas ekuiti pemegang sahamnya pada asas disatukan jatuh kepada kurang daripada 25% daripada modal sahamnya.

EY juga telah mengeluarkan pendapat audit yang tidak diubah suai mengenai keupayaannya untuk meneruskan usaha berterusan berkenaan dengan penyata kewangan teraudit AirAsia X untuk FYE 31 Dis 2019.

Bagaimanapun, AirAsia X tidak diklasifikasikan sebagai syarikat PN17 ketika itu kerana langkah pelepasan yang disediakan oleh Bursa Securities ke atas penerbit tersenarai yang telah mencetuskan kriteria klasifikasi dari 17 April 2020 hingga 30 Jun 2021.

“AirAsia X terus menghadapi kekangan mudah tunai yang teruk dan semua harapan adalah pada kejayaan penyusunan semula hutang dan pembiayaan ekuiti baharu daripada pelabur sedia ada dan baharu untuk menyediakan modal yang mencukupi untuk memulakan semula operasi apabila sempadan antarabangsa dibuka semula,” pendapat PublicInvest Research dalam kemas kini syarikat.

“Walaupun pemegang saham telah meluluskan semua cadangan pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 1 Jun, pelaksanaan usaha penjanaan dana hanya boleh dilaksanakan selepas berjaya menyelesaikan cadangan penstrukturan semula hutang.”

Di atas segalanya, AirAsia X juga menghadapi kemarahan penumpang berikutan tawaran baru-baru ini untuk membayar balik hanya 0.5% daripada jumlah yang terhutang kepada mereka di bawah cadangan penstrukturan semula hutang syarikat penerbangan itu yang akan diundi pada 12 Nov.

Menurut AirAsia X, pelaksanaan itu – jika diluluskan – akan menjadi penyelesaian penuh dan muktamad dan syarikat itu tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang tindakan undang-undang daripada mana-mana pemiutang selepas itu. Bagaimanapun, ia juga memberi amaran bahawa AirAsia X dijangka akan dibubarkan jika gagal mendapat persetujuan.

Untuk menggambarkan berapa banyak penumpang boleh jangkakan, syarikat penerbangan itu berkata sesiapa yang berhutang RM2,000 akan mendapat RM10 sebagai “perkongsian untung” pada ulang tahun kelulusan latihan ini, sambil menambah bahawa mereka akan mendapat pulangan yang sama selama empat tahun selepas yang berdasarkan formula tertentu yang digariskan.

Difahamkan AirAsia X berhutang kira-kira RM600 juta kepada penumpang dan ejen pelancongan, justeru ia perlu membayar RM2.9 juta sebagai penyelesaian jika diluluskan.

Pada 11.38 pagi, AirAsia X turun 1.5 sen atau 15.79% kepada 8 sen dengan 72.95 juta saham diniagakan, sekali gus menilai syarikat itu pada RM332 juta. – 1 Nov 2021

Aliff menumpang di rumah saya atas izin ibunya – Sarah Yasmine

  KUALA LUMPUR – Enggan tindakan disalah erti, Sarah Yasmine membenarkan Aliff Aziz menumpang di rumahnya selama sebulan adalah demi memenuh...