Popcash

Rabu, 24 November 2021

Siasat dakwaan guru belum divaksin diasingkan ke stor

 Ipoh: Siasatan terperinci akan dijalankan membabitkan dakwaan seorang individu yang mengaku guru sebuah sekolah menengah di sini, diasingkan di stor menyimpan barangan pekerja pembersihan kerana belum menerima vaksinasi Covid-19.



Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, siasatan dijalankan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak manakala Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga sudah dimaklumkan mengenainya.

Beliau berkata, laporan penuh siasatan akan dimaklumkan dalam masa terdekat oleh pihak KPM.

"Kerajaan negeri juga mengambil perhatian serius dakwaan ini kerana ia turut membabitkan aspek kesihatan serta kebajikan guru.

"Ia bagi memastikan semua pihak berada dalam keadaan sihat dan bebas daripada pandemik. Kerajaan negeri ingin memastikan semua pihak sama ada guru, pelajar dan ibu bapa berada dalam keadaan sihat," katanya dihubungi melalui aplikasi WhatsApp di sini, hari ini.

Terdahulu, tular rakaman video berdurasi tiga minit berkaitan perkara terbabit di aplikasi TikTok sebelum tular di Facebook.

Menerusi rakaman itu, individu terbabit berkata, dia pada mulanya diasing dan ditempatkan pihak sekolah di stor pendidikan jasmani sebelum ditukarkan ke stor berkenaan.

Menurutnya, stor terbabit hanya mempunyai meja dan kipas namun tiada kerusi serta palam untuk menggunakan barangan elektronik termasuk komputer riba.

Katanya, bilik berdindingkan zink itu juga menyebabkan dia kepanasan.




Isnin, 22 November 2021

Guru boleh dihukum sekiranya berleter terhadap murid

 Sebagai ingatan kepada cikgu-cikgu terutamanya sekolah rendah yang bakal memulakan sesi persekolahan secara bersemuka penuh bermula 22 November ini.



Berleter di dalam kelas juga adalah dilarang kerana merupakan salah satu bentuk hukuman yang akan memberi kesan kepada mental dan emosi murid.

Senarai yang dikeluarkan oleh Unit Disiplin KPM ini adalah berdasarkan kepada aduan yang diterima daripada ibu bapa yang tidak membenarkan guru-guru untuk menyentuh dan menghukum anak-anak mereka.

Berhati-hatilah kerana hukuman undang-undang telah tersedia untuk menghukum cikgu-cikgu yang cuba melawan arus.

Tugas guru sekarang hanyalah semata-mata penyampai ilmu dan tidak lebih daripada itu.

Ibu bapa pula merupakan insan yang paling banyak bersama anak-anak dan tentunya sangat kenal dengan peribadi setiap anak-anak mereka.



Akhirnya, guru dan ibu bapa ada tanggungjawab masing-masing.

Sekiranya ibu bapa memberi tanggungjawab kepada guru untuk mendidik anak-anak mereka tentang adab, maka berilah autonomi kepada guru-guru untuk melakukannya selagi mana tidak keterlaluan.

In shaa Allah peringatan ini adalah peringatan kepada diri sendiri sebagai seorang guru dan juga sebagai seorang bapa kepada murid.

Semoga kita semua dipermudahkan segala urusan.





Ahad, 21 November 2021

Pengerusi DAP Melaka letak jawatan

 MELAKA: Tidak sampai 24 jam keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak menyebelahi Pakatan Harapan (PH), Datuk Tey Kok Kiew mengumumkan perletakan jawatan sebagai Pengerusi DAP negeri berkuat kuasa serta-merta.



Menurut Kok Kiew, beliau mengambil rasa tanggungjawab dengan kekalahan DAP terhadap separuh daripada lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi dalam pilihan raya itu.

Beliau juga memohon maaf terhadap kegagalan PH untuk membentuk kerajaan negeri.

Bagaimanapun Kok Kiew memaklumkan beliau kekal sebagai ahli DAP.

“Kita bukan sahaja gagal membentuk kerajaan negeri yang baharu, malah lapan kerusi yang kita menangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berkurangan.

“Ini adalah keputusan peribadi saya. Saya ingin memohon maaf kepada ahli DAP, rakan sekutu PH dan penyokong kami kerana gagal mencapai sasaran kami.

“Sebagai ketua negeri mesti bertanggungjawab sepenuhnya. Maka dengan ini mengumumkan saya meletakkan jawatan sebagai ketua negeri berkuat kuasa serta-merta,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Keputusan PRN Melaka semalam menyaksikan DAP hanya menang empat kerusi berbanding lapan DUN ketika PRU-14 sekali gus memberi tamparan hebat kepada parti itu.

Malah Kok Kiew turut kalah di DUN Bemban apabila kerusi itu dimenangi oleh calon Perikatan Nasional (PN). – UTUSAN ONLINE

Khamis, 18 November 2021

Tengku Zafrul, 3 lagi menteri dilapor antara yang bantah rumah RM100 juta Najib

KUALA LUMPUR: Beberapa menteri termasuk Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dikatakan antara yang membantah tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, untuk meluluskan pemberian tanah premium dan rumah mewah kepada Datuk Seri Najib Razak.

Portal MalaysiaNow melaporkan, sumber yang rapat dengan beberapa anggota Kabinet memberitahu selain Tengku Zafrul, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali daripada Bersatu, Khairy Jamaluddin (UMNO) dan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (Pas), turut menyuarakan bantahan.
Namun tidak ada pengesahan yang diperoleh daripada mereka berhubung bantahan tersebut.
Terdahulu Tengku Zafrul sewaktu menggulung perbahasan Bajet 2022 di Dewan Rakyat mengesahkan, kerajaan menerima permohonan daripada Najib untuk mendapatkan hartanah bernilai RM100 juta di ibu negara.
Najib dalam reaksi balasnya di Facebook mendakwa ia adalah propaganda untuk menghasut rakyat Melaka membencinya.
Katanya, beliau bukan meminta hadiah RM100 juta daripada kerajaan atau menyuruh kerajaan berbelanja untuk membeli tanah, tetapi kediaman seperti diberi kepada kesemua bekas-bekas Perdana Menteri.
"Office saya cuma mohon diberi kediaman selepas PRU14 seperti dalam akta dipinda dia (Tun Dr Mahathir Mohamad).
"Kerajaan beri tiga bidang tanah kerajaan untuk pilih maka saya pilih satu. Tanah kerajaan dekat Dewan Bahasa dan Pustaka sebab keluarga saya rasa lokasi itu paling sesuai bagi mereka.
"Bukan sudah diluluskan kerajaan hari ini pun. Bukan saya minta hadiah RM100 juta dari kerajaan atau suruh kerajaan belanja untuk beli tanah tetapi kediaman seperti diberi kepada kesemua bekas-bekas Perdana Menteri," katanya.


Isnin, 15 November 2021

Pengetua sekolah salah guna kuasa tetap dipenjara

 PUTRAJAYA - Seorang pengetua sekolah menengah terpaksa meringkuk di dalam penjara selama tiga bulan selepas gagal dalam rayuan terakhirnya untuk mengetepikan sabitan bagi tiga pertuduhan salah guna kuasa membabitkan pembekalan peralatan untuk aktiviti sekolah bernilai RM6,591.65 kira-kira empat tahun lepas.


Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Hanipah Farikullah, Datuk M.Gunalan dan Datuk Hashim Hamzah menolak rayuan Norliza Mat Radzi, 53, berhubung sabitan, hukuman penjara tiga bulan dan denda RM40,500 yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Julai 2017.


Hanipah, yang mengetuai panel itu, berkata hukuman penjara yang dijatuhkan ke atas Norliza oleh Mahkamah Sesyen adalah tidak terlalu berat memandangkan tempoh maksimum hukuman penjara bagi kesalahan tersebut ialah 20 tahun.

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Raja Zarina, Pelabuhan Klang itu, yang bebas atas jaminan sementara menunggu rayuan, diperintah menjalani hukuman penjara mulai hari ini.


Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan di sekolah itu antara 12 Februari dan 13 April 2016.


Sebelum ini, Norliza gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi yang mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen.

Dia dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM10,500 bagi pertuduhan pertama iaitu memilih syarikat miliknya sendiri, Orean Collection, untuk menjadi membekalkan alat bantuan mengajar bernilai RM2,091.65.

Bagi pertuduhan kedua iaitu memilih syarikat yang sama untuk membekalkan tuala kecil bagi program ‘Selamatkan Bumi Kita’ bernilai RM500, dia dihukum penjara tiga bulan dan denda RM10,000.

Norliza turut dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM20,000 bagi pertuduhan ketiga iaitu memilih syarikat yang sama untuk membekalkan hamper, set fail, alat tulis dan pingat bagi program Perkhemahan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan 2016 bernilai RM4,000.

Mahkamah Sesyen telah memerintahkan Norliza menjalani hukuman penjara secara serentak. Dia telah membayar denda yang dikenakan terhadapnya.

Norliza diwakili peguam Anwar Ab Raof manakala Timbalan Pendakwa Raya Zaki Asyraf Zubir hadir bagi pihak pendakwaan. - Bernama

Khamis, 11 November 2021

Tinggal kenangan… 26 tahun bawa suara Nobita dalam animasi Doraemon, Yoshiko Ota meninggal dunia akibat serangan jantung

 PEMILIK suara bagi watak Nobita dalam siri animasi popular, Doraemon iaitu Yoshiko Ota meninggal dunia akibat serangan jantung pada usia 89 tahun.



Menurut laporan TodayOnline, Yoshiko menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kanagawa, Jepun pada 29 Oktober lalu.

Bagaimanapun, berita kematiannya itu hanya diumumkan oleh The Theater Echo Company pada Selasa lalu.

Yoshiko menggalas tanggungjawab membawakan suara Nobita sejak tahun 1979 hingga 2005.

Bukan sahaja dalam animasi Doraemon, suara Yoshiko juga pernah digunakan dalam animasi Jungle Emperor Leo membawa watak Leo pada 1966.



Suara Yoshiko turut digunakan di Hollywood sebagai Mary dalam Peter Pan dan watak Vixey dalam The Fox and the Hound.

Atas bakatnya itu, dia pernah menerima anugerah Lifetime Achievement Award 2016 di Tokyo Anime Award Festival.

Yoshiko dilahirkan di pada 25 April 1932 di Hyogo dan mendirikan rumah tangga dengan pelakon alih suara Osamu Saka.

Osamu pula terjun dalam bidang animasi sejak tahun 1947 di bawah pengurusan Takarazuka Revue.

Selasa, 9 November 2021

Hukuman mati pengedar dadah warga Malaysia ditunda setelah positif COVID-19

 SINGAPURA: Hukuman mati ke atas seorang pengedar dadah warga Malaysia ditangguhkan pada Selasa (9 Nov) oleh Mahkamah Rayuan selepas dia diuji positif COVID-19.


Nagaenthran Dharmalingam, yang sudah meringkuk dalam penjara selama 11 tahun sebelum hukuman mati, dibawa ke kandang tertuduh bagi percubaan terakhir untuk menggugurkan hukuman mati terhadapnya.

 Bagaimanapun, lelaki itu kemudian dibawa pergi dan seorang hakim memberitahu mahkamah bahawa Nagaenthran diuji positif COVID-19.


Hakim Andrew Phang, yang tampil bersama dua hakim lain, Judith Prakash dan Kannan Ramesh, berkata "ini agak tidak dijangkakan". Beliau berkata mahkamah berpandangan ia tidak wajar untuk diteruskan "setelah mengambil kira keadaan tersebut".


"Hukuman mati dijadualkan esok," kata Hakim Phang. "... Jika banduan dijangkiti COVID-19... kami berpendapat pelaksanaan hukuman itu tidak boleh dilakukan."


Pihak pendakwa menyatakan ia baru sahaja diberitahu tentang perkembangan itu dan perlu menerima arahan selanjutnya.


"Saya rasa di sini, kami perlu menggunakan logik, akal dan perikemanusiaan," kata Hakim Phang.


Beliau menangguhkan perbicaraan ke satu tarikh yang belum ditetapkan dan mengeluarkan penangguhan terhadap hukuman mati sehingga prosiding dimuktamadkan.


LATAR BELAKANG PERBICARAAN


Peguam M Ravi mengambil alih kes Nagaenthran, 33 tahun, pada saat-saat akhir menjelang hukuman matinya yang dijadualkan pada Rabu.


Permohonan yang dibuat peguam itu pada Isnin adalah untuk semakan kehakiman kes atas alasan Nagaenthran yang dikatakan hilang keupayaan mental ditolak tetapi hakim membenarkan penangguhan sementara pelaksanaan hukuman mati itu sehingga selepas Encik Ravi merayu terhadap penolakan tersebut.


Kes itu berjalan pantas dan rayuan ditetapkan untuk didengar di mahkamah tertinggi negara pada petang Selasa, dengan bilik mahkamah yang penuh sesak termasuk kehadiran media asing dan aktivis tempatan.


Encik Ravi dilihat memeluk seorang rakan peguam selepas penangguhan hukuman gantung diumumkan.


Butiran lanjut mengenai bila Nagaenthran diuji positif bagaimanapun tidak diberikan. Mediacorp sudahpun menghubungi Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) untuk mendapatkan lebih banyak maklumat.


Nagaenthran dijatuhi hukuman mati pada 2010 kerana menyeludup 42.72g heroin ke Singapura pada 2009 dalam satu bungkusan yang diikat pada pahanya. Dia gagal dalam rayuannya kepada Mahkamah Tinggi pada 2011, Mahkamah Agung pada 2019 dan petisyennya kepada presiden untuk mendapatkan pengampunan.


Kes itu menarik perhatian antarabangsa ketika hukuman mati Nagaenthran semakin hampir dengan hari hukuman itu dilaksanakan, dengan petisyen online terhadap hukuman mati itu menarik kira-kira 70,000 tandatangan pada Selasa serta liputan media antarabangsa.


Perdana Menteri Malaysia dilaporkan menulis surat kepada rakan sejawatannya di Singapura berhubung perkara itu, menurut BERNAMA.


Kumpulan hak asasi manusia dan pengasas Virgin Group, Richard Branson, turut menyentuh tentang isu tersebut.

 

Isnin, 8 November 2021

AIR ASIA X : SYARIKAT PENERBANGAN TAMBANG MURAH BERNILAI 1 SEN

 PUBLICINVEST Research telah mengulangi saranan “kurang prestasi”nya ke atas AirAsia X Bhd dengan harga sasaran 1 sen di belakang prospek suram yang berpunca daripada penstrukturan semula hutangnya – dan dengan yang kedua kini diklasifikasikan sebagai syarikat Nota Amalan 17 (PN17).


Pada Jumaat (29 Okt), AirAsia X Bhd mendedahkan bahawa ia kini diklasifikasikan sebagai syarikat PN17 selepas juruaudit luarnya Ernst & Young PLT (EY) menyatakan penafian pendapat mengenai penyata kewangan terauditnya bagi tempoh kewangan 18 bulan berakhir Jun 30, 2021




Syarikat penerbangan bajet itu mempunyai 12 bulan untuk menetapkan keadaan kewangannya, jika gagal, ia akan dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia.

Malah pada masa ini, AirAsia X sedang melaksanakan cadangan penyusunan semula hutang dan korporat serta mencari untuk mendapatkan pembiayaan ekuiti baharu untuk memulakan semula operasinya apabila sempadan antarabangsa dibuka semula.

Mesyuarat pemiutang skim berkenaan dengan cadangan penstrukturan semula hutangnya akan diadakan pada 12 Nov. Sekurang-kurangnya 75% daripada setiap kelas pemiutang skim dalam mesyuarat itu dikehendaki mengundi dengan baik bagi cadangan penstrukturan semula hutang sebelum pelaksanaan cadangan penstrukturan semula korporat dan pengumpulan dana.

Sebagai imbasan, ini bukan kali pertama AirAsia X mencetuskan kriteria PN17. Syarikat saudara AirAsia Group Bhd pada 30 Julai tahun lalu mencetuskan kriteria PN17 selepas ekuiti pemegang sahamnya pada asas disatukan jatuh kepada kurang daripada 25% daripada modal sahamnya.

EY juga telah mengeluarkan pendapat audit yang tidak diubah suai mengenai keupayaannya untuk meneruskan usaha berterusan berkenaan dengan penyata kewangan teraudit AirAsia X untuk FYE 31 Dis 2019.

Bagaimanapun, AirAsia X tidak diklasifikasikan sebagai syarikat PN17 ketika itu kerana langkah pelepasan yang disediakan oleh Bursa Securities ke atas penerbit tersenarai yang telah mencetuskan kriteria klasifikasi dari 17 April 2020 hingga 30 Jun 2021.

“AirAsia X terus menghadapi kekangan mudah tunai yang teruk dan semua harapan adalah pada kejayaan penyusunan semula hutang dan pembiayaan ekuiti baharu daripada pelabur sedia ada dan baharu untuk menyediakan modal yang mencukupi untuk memulakan semula operasi apabila sempadan antarabangsa dibuka semula,” pendapat PublicInvest Research dalam kemas kini syarikat.

“Walaupun pemegang saham telah meluluskan semua cadangan pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 1 Jun, pelaksanaan usaha penjanaan dana hanya boleh dilaksanakan selepas berjaya menyelesaikan cadangan penstrukturan semula hutang.”

Di atas segalanya, AirAsia X juga menghadapi kemarahan penumpang berikutan tawaran baru-baru ini untuk membayar balik hanya 0.5% daripada jumlah yang terhutang kepada mereka di bawah cadangan penstrukturan semula hutang syarikat penerbangan itu yang akan diundi pada 12 Nov.

Menurut AirAsia X, pelaksanaan itu – jika diluluskan – akan menjadi penyelesaian penuh dan muktamad dan syarikat itu tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang tindakan undang-undang daripada mana-mana pemiutang selepas itu. Bagaimanapun, ia juga memberi amaran bahawa AirAsia X dijangka akan dibubarkan jika gagal mendapat persetujuan.

Untuk menggambarkan berapa banyak penumpang boleh jangkakan, syarikat penerbangan itu berkata sesiapa yang berhutang RM2,000 akan mendapat RM10 sebagai “perkongsian untung” pada ulang tahun kelulusan latihan ini, sambil menambah bahawa mereka akan mendapat pulangan yang sama selama empat tahun selepas yang berdasarkan formula tertentu yang digariskan.

Difahamkan AirAsia X berhutang kira-kira RM600 juta kepada penumpang dan ejen pelancongan, justeru ia perlu membayar RM2.9 juta sebagai penyelesaian jika diluluskan.

Pada 11.38 pagi, AirAsia X turun 1.5 sen atau 15.79% kepada 8 sen dengan 72.95 juta saham diniagakan, sekali gus menilai syarikat itu pada RM332 juta. – 1 Nov 2021

Ahad, 7 November 2021

Bill Gates Beri Amaran, Ada Ancaman Lebih Bahaya Setelah COVID-19

 Bill Gates memberi amaran kepada dunia untuk bersiap sedia menghadapi ancaman baharu selepas COVID-19 iaitu wabak penyakit dan serangan bioterorisme. Beliau beranggapan, ancaman pengganas pada masa hadapan adalah wabak yang boleh menyebarkan penyakit.



Untuk menanganinya, menurut Gates, pemimpin dunia mesti melabur berbilion dolar AS untuk tujuan menyelidik dan pembangunan. Pencipta Microsoft itu juga meminta negara maju, seperti Amerika Syarikat dan Britain, untuk melabur lebih banyak bagi menyiapkan diri menghadapi ancaman wabak seterusnya.

“Terdapat wabak yang berpunca semula jadi dan wabak yang disebabkan oleh bioterorisme yang mungkin lebih teruk daripada apa yang kita ada hari ini, tetapi kemajuan dalam sains perubatan seharusnya menyiapkan diri dengan lebih baik,” kata Gates dalam temu bual dengan bekas Setiausaha Kesihatan UK Jeremy Hunt seperti dilaporkan Sky News.

Gates juga menasihatkan pemimpin dunia untuk melibatkan diri dalam “germ games”, istilah yang merujuk kepada situasi di mana pengganas menggunakan senjata biologi untuk menyebabkan kerosakan di peringkat global. Sekiranya semua negara melakukan hal ini, kita akan bersedia menghadapi ancaman wabak seterusnya.

Menurut orang keempat terkaya di dunia tersebut, ‘germ games’ telah terbukti berpengaruh dalam membentuk dasar ancaman wabak. Sebuah negara boleh menyediakan vaksin yang lebih baik, lebih banyak katil hospital dan membuat rancangan kontingensi sekiranya berlaku wabak penyakit global.

Selain itu, Gates menggesa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menubuhkan sebuah pasukan khas pandemik yang disokong dengan dana yang besar.

Beliau turut memberi contoh bagaimana jika berlaku serangan pengganas menggunakan virus cacar yang menyasarkan 10 lapangan terbang. Menurutnya, peranan Pasukan Petugas Pandemik PBB akan menjadi sangat penting dalam keadaan ini.

Bill Gates turut mengutuk tahap penyediaan diri negara-negara untuk menghadapi pandemik COVID-19. Malah, beliau telah pun memberi amaran awal bahawa ancaman terbesar kepada manusia ialah penyakit berjangkit, bukan perang nuklear.

“Pada 2015, saya bercakap di Ted Talk dan menulis beberapa kertas bertajuk, ‘Kami tidak bersedia untuk wabak seterusnya’. Dan malangnya itu adalah ramalan yang baik tentang apa yang akan datang, dan yang tidak dijangkakan oleh sesiapa pun. Kerosakan ekonomi, kematian benar-benar mengerikan,” katanya.

Jumaat, 5 November 2021

Pengasas 'pendrive' warga Malaysia berdepan penjara dua tahun

 KUALA LUMPUR: Mahkamah Daerah Hsinchu Taiwan menjatuhkan hukuman penjara dua tahun ke atas warga Malaysia, Datuk Pua Khein-Seng di atas kesalahan memberikan maklumat palsu sebuah dokumen awam.

Khein-Seng, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengerusi Phison Electronics Corporation berpangkalan di Taiwan, syarikat yang mengasaskan 'pendrive', pada mulanya dijatuhkan hukuman penjara setahun 10 bulan (kemudian ditukar kepada denda) di atas satu kes yang berlaku pada 2016.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara dua tahun kerana melanggar Artikel 171 Item 1 Sub-Item 1 Akta Sekuriti dan Pasaran Saham Taiwan.

Phison dalam kenyataannya hari ini berkata, sejak kes itu didedahkan, Khein-Seng secara sukarela memberikan kerjasama penuh dengan telus terhadap siasatan.

"Khein-Seng mendedahkan bahawa beliau tidak berniat untuk menjejaskan Phison atau menipu mana-mana pelabur, malah realitinya syarikat ini tidak mengalami kerosakan.

"Begitupun, kes ini memberi pengajaran kepada Phison dan mencetus inspirasi untuk mengubah perkara negatif ini kepada peluang yang positif," katanya.

Syarikat itu menjelaskan, dalam beberapa tahun kebelakangan ini Phison secara aktif menambah baik tadbir urus korporat, pengurusan sistem dan membina mekanisme tanggungjawab sosial korporat termasuk perlindungan alam sekitar serta tanggungjawab sosial terhadap tadbir urus korporat (ESG).

Pencapaian ini, katanya boleh diukur dengan membandingkan kedudukan ranking tadbir urus korporat Phison pada 2016 dengan 2020 dalam kalangan syarikat senaraian Taipei Exchange.

Ia berkata, Phison melonjak daripada enam peratus kepada 20 peratus, manakala Rating MSCI ESG syarikat itu turut dinaik taraf daripada CCC kepada BB.

"Pencapaian ini mencerminkan komitmen Phison terhadap ESG yang mantap," katanya.

Phison menambah, keputusan mahkamah itu tidak mempengaruhi operasi dan kewangan syarikat itu.

"Khein-Seng kekal sebagai Pengerusi dan CEO Phison," katanya.

Dibesarkan di Sekinchan, Selangor, Khein-Seng menerima pendidikan dalam kejuruteraan kawalan elektrik di National Chiao Tung University, Taiwan.

Bersama beberapa orang rakan, beliau mengasaskan Phison Electronics pada November 2000 ketika berusia 27 tahun.

Syarikat itu mula mencuri perhatian selepas mengeluarkan pembaca kad lima dalam satu.

Pada 2002, 'pendrive' iaitu produk ciptaan syarikat itu yang kemudiannya terkenal di seluruh dunia membuat kemunculan sulungnya dalam pasaran.


Khamis, 4 November 2021

PM ‘lembik’, tidak berani buat sesuatu selamatkan negara, tegas Mat Sabu

 Walaupun sudah mendapat ikrar daripada Pakatan Harapan untuk mengekalkan kedudukan sebagai perdana menteri, Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) berkata, Ismail Sabri masih kelihatan teragak-agak dalam tindakannya.

Membahaskan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat hari ini Mohamad berkata Ismail Sabri wajar menunjukkan dia berkuasa dalam kerajaan dan tidak terkesan dengan sebarang ugutan.

“Perdana menteri ni tak jatuh, insya-Allah sehingga PRU akan datang. Maka kena beranilah sikit. Kita nampak macam perdana menteri kita ni jadi macam hostage (tawanan), dikawal oleh orang tertentu. Kena berani,” katanya.

Mohamad berkata demikian dengan merujuk kepada memorandum persefahaman (MOU) yang dimeterai PH dengan kerajaan pada 13 Sept lalu yang menyaksikan gabungan tersebut tidak akan menjatuhkan Ismail Sabri atau menggagalkan Belanjawan 2022.

Sebagai balasan, Putrajaya berjanji melaksanakan pelbagai pembaharuan dalam negara bagi membantu rakyat menghadapi Covid-19 serta kemelut ekonomi yang memberi kesan kepada orang ramai.

Ismail Sabri merupakan ahli parlimen Bera yang dilantik menjadi perdana menteri selepas Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dijatuhkan melalui inisiatif beberapa pemimpin Umno.

Bagaimanapun dalam struktur partinya Ismail Sabri merupakan seorang daripada tiga naib presiden Umno. Di atasnya ada Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden dan Mohamad Hasan sebagai timbalan presiden.

Ismail Sabri pula menjadi perdana menteri dengan sokongan daripada ahli parlimen Bersatu kerana dalam keadaan semasa, Umno tidak memiliki majoriti yang mencukupi untuk menjadi kerajaan secara bersendirian.

Kata Mohamad sehingga kini Ismail Sabri tidak memberikan kenyataan mengenai Melaka atau prosedur operasi standard di sebalik tarikh pilihan raya negeri yang semakin hampir.

Tambahnya sebagai perdana menteri Ismail Sabri tidak boleh kelihatan “lembik” sebaliknya menunjukkan kuasa bagi mengendalikan kerajaan.

“Jangan ada ugutan daripada mana-mana pihak. Sebab itu kita (PH) buat MOU supaya perdana menteri ini boleh kekal sehingga PRU akan datang, tapi kita nampak dia tak berani untuk membuat sesuatu bagi menyelamatkan Malaysia sekarang ini,” katanya.

Aliff menumpang di rumah saya atas izin ibunya – Sarah Yasmine

  KUALA LUMPUR – Enggan tindakan disalah erti, Sarah Yasmine membenarkan Aliff Aziz menumpang di rumahnya selama sebulan adalah demi memenuh...