Jumaat, 5 November 2021

Pengasas 'pendrive' warga Malaysia berdepan penjara dua tahun

 KUALA LUMPUR: Mahkamah Daerah Hsinchu Taiwan menjatuhkan hukuman penjara dua tahun ke atas warga Malaysia, Datuk Pua Khein-Seng di atas kesalahan memberikan maklumat palsu sebuah dokumen awam.

Khein-Seng, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengerusi Phison Electronics Corporation berpangkalan di Taiwan, syarikat yang mengasaskan 'pendrive', pada mulanya dijatuhkan hukuman penjara setahun 10 bulan (kemudian ditukar kepada denda) di atas satu kes yang berlaku pada 2016.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara dua tahun kerana melanggar Artikel 171 Item 1 Sub-Item 1 Akta Sekuriti dan Pasaran Saham Taiwan.

Phison dalam kenyataannya hari ini berkata, sejak kes itu didedahkan, Khein-Seng secara sukarela memberikan kerjasama penuh dengan telus terhadap siasatan.

"Khein-Seng mendedahkan bahawa beliau tidak berniat untuk menjejaskan Phison atau menipu mana-mana pelabur, malah realitinya syarikat ini tidak mengalami kerosakan.

"Begitupun, kes ini memberi pengajaran kepada Phison dan mencetus inspirasi untuk mengubah perkara negatif ini kepada peluang yang positif," katanya.

Syarikat itu menjelaskan, dalam beberapa tahun kebelakangan ini Phison secara aktif menambah baik tadbir urus korporat, pengurusan sistem dan membina mekanisme tanggungjawab sosial korporat termasuk perlindungan alam sekitar serta tanggungjawab sosial terhadap tadbir urus korporat (ESG).

Pencapaian ini, katanya boleh diukur dengan membandingkan kedudukan ranking tadbir urus korporat Phison pada 2016 dengan 2020 dalam kalangan syarikat senaraian Taipei Exchange.

Ia berkata, Phison melonjak daripada enam peratus kepada 20 peratus, manakala Rating MSCI ESG syarikat itu turut dinaik taraf daripada CCC kepada BB.

"Pencapaian ini mencerminkan komitmen Phison terhadap ESG yang mantap," katanya.

Phison menambah, keputusan mahkamah itu tidak mempengaruhi operasi dan kewangan syarikat itu.

"Khein-Seng kekal sebagai Pengerusi dan CEO Phison," katanya.

Dibesarkan di Sekinchan, Selangor, Khein-Seng menerima pendidikan dalam kejuruteraan kawalan elektrik di National Chiao Tung University, Taiwan.

Bersama beberapa orang rakan, beliau mengasaskan Phison Electronics pada November 2000 ketika berusia 27 tahun.

Syarikat itu mula mencuri perhatian selepas mengeluarkan pembaca kad lima dalam satu.

Pada 2002, 'pendrive' iaitu produk ciptaan syarikat itu yang kemudiannya terkenal di seluruh dunia membuat kemunculan sulungnya dalam pasaran.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Aliff Aziz minta maaf(Video)

  [VIDEO] Gagal Tahan Sebak Minta Maaf Pada Isteri, Aliff Aziz Perjelas Tindakan Dedah Kes ‘Curang’ Bella Astillah… – “Masa Tu Saya Rasa Mar...