Popcash

Selasa, 26 Oktober 2021

Siti Nurhaliza hampir nak hentikan perniagaan

 Kuala Lumpur: Datuk Seri Siti Nurhaliza, 42, pernah terfikir mahu menghentikan perniagaan kosmetik SimplySiti berikutan sedih dan kecewa dengan beberapa perkara seperti pengurusan dalam perniagaan dan pekerja tidak amanah.

Bagaimanapun, sokongan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa yang memintanya terus bersabar dengan dugaan membuatkan dia membatalkan hasratnya itu sekali gus membawa perniagaan itu bertahan selama 11 tahun.

"Suami banyak memberi kata semangat dan sokongan positif untuk saya teruskan perniagaan ini. Alhamdulillah sekarang berkat dorongan dan restunya itu, ia terus bertahan hingga hari ini.

"Terima kasih kepada suami dan keluarga termasuk dua ibu saya yang banyak mendoakan kejayaan ini. Selain restu suami, saya yakin doa ibu-ibu yang membawa saya berjaya hingga ke tahap sekarang," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya bilakah hasrat untuk menghentikan perniagaan itu terdetik, Siti berkata, ia terjadi ketika suaminya terbabit dalam kemalangan motosikal di luar negara dan mengalami kecederaan yang memerlukan dia menjaganya dengan rapi ketika itu.

"Saya tak berapa ingat tahun bila, tapi ketika itu suami saya cedera akibat kemalangan motosikal dan perlukan penjagaan rapi sehingga pulih. Jadi, urusan perniagaan saya beri kepercayaan kepada pekerja dan dari situ kita tahu mana yang jujur serta sebaliknya.

"Apapun, dengan rezeki dan peluang berterusan yang Allah berikan untuk saya kembangkan perniagaan ini lagi tidak akan disia-siakan. Terima kasih juga pada semua pelanggan yang setia dan terus memberi sokongan mereka sehingga kini," katanya ketika ditemui di majlis pelancaran produk SimplySiti For All – Reflection Of Perfection' dan sesi memperkenalkan duta SimplySiti di Menara Kuala Lumpur, di sini.

Penyanyi tersohor negara itu tertarik mahu memberikan mandat kepada penuntut tahun akhir Universiti Teknologi Mara (UiTM), Zahra Zura Aziza Zahanor, 20, menjadi wajah jenama kecantikan popular miliknya.

Isnin, 18 Oktober 2021

Saya rasa tak selamat' - Sajat sahkan menetap di Australia

 Bimbang dengan keselamatan diri ketika berada di Malaysia, usahawan kosmetik Nur Sajat hari ini mengesahkan bahawa dia telah menetap di Australia.



Ini berikutan kes di Mahkamah Syariah terhadapnya kerana berpakaian seperti wanita di sebuah majlis tiga tahun lalu.

Sajat, 36, turut mengesahkan dia telah diberikan status penduduk tetap di Australia, di mana dia akan memulakan semula perniagaannya di situ.

Sajat yang juga merupakan seorang transgender berkata dia sedar bahawa telah meninggalkan keluarganya di Malaysia, harta dan perniagaannya di tanah air tetapi katanya dia tidak gembira di Malaysia.

Bila I (saya) bebasI boleh jalankan kehidupan. Duit boleh cari tapi kebahagiaan tak boleh beli. Bagi I, I bahagia di tempat negara yang boleh terima siapa diri I. Itu yang I nak sangat-sangat.

“Dekat sana (Malaysia) I tak bahagia, tapi I menghormati, jadi I gerak (ke Australia). Dan I hanya nak dapatkan freedom (kebebasan), itu je,” katanya melalui sesi siaran langsung di Instagram sekitar jam 4 petang waktu Malaysia hari ini.

Sepanjang video tersebut, Sajat berulang kali menyatakan dia amat gembira di sana sekarang dan mengucapkan terima kasih kepada beberapa pihak, termasuklah Kedutaan Australia dalam membantu proses tersebut.

Dia kini sedang menjalani kuarantin kendiri setibanya di Sydney dari Thailand. Tambahnya, antara perancangannya tidak lama lagi termasuklah untuk ditemubual oleh sebuah media di Australia yang berminat dengan kisahnya.

Sebagai maklum balas kepada pengikutnya di Instagram, Sajat menafikan dia melarikan diri daripada masalah hutang. Sebaliknya Sajat menjelaskan dia telah hadir setiap perbicaraan kes fail saman terhadapnya oleh sebuah syarikat di Malaysia, pada 2018.

Dia menegaskan keputusannya untuk meninggalkan Malaysia adalah disebabkan kes syariah terhadap dirinya.

“Sejak berlaku kes syariah dan I terus keluar daripada Malaysia.

“I dah give up sebab I rasa perundangan dalam tu tak patut berlaku, I rasa tak selamat dan I keluar.

“Bila kes (civil) itu dibangkitkan pada Februari, saya dua tiga kali tak datang ke mahkamah,” katanya.

Pada Feb lalu, Mahkamah Tinggi Syariah di Shah Alam mengeluarkan waran tangkap terhadap Sajat kerana gagal menghadirkan diri pada sebutan semula kesnya tanpa sebarang sebab.

Bagaimanapun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya mengikut Seksyen 10 (a) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pada 6 Jan lalu, Sajat, dituduh berpakaian seperti wanita dalam satu majlis bacaan Yasin dan solat hajat sehingga menyebabkan agama Islam dipandang hina.

Agama hal peribadi

Menjawab persoalan berhubung status agamanya, Sajat hanya membalas “agama adalah benda yang peribadi.”

“I rasa kalau I masih Islam biarlah I dengan Islam I, you dengan Islam you. This is more respect. Tak perlulah you judge I ke apa. Kita respect each other.

“Sekarang ni kalau you nak kata I macam-macam tak guna sebab I dengan cara Islam I, you dengan cara Islam you.

“Tak perlu nak kata 'Sajat berdosa'...terima kasih, I sangat hargai you all rasa you dah nasihat tapi I ada pendirian I, kita hormat satu sama lain, itu je,“ katanya.

Apabila ditanya mengenai hubungannya dengan Malaysia, Sajat seolah-olah memberi bayangan tidak akan pulang ke tanah air.

Namun, katanya dia masih berkomunikasi bersama ibu bapanya dan anak-anak angkatnya.

Pada Sept lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abd Jalil Hassan mengesahkan Sajat telah ditangkap oleh pihak imigresen Thailand kerana memiliki pasport tidak sah.

Abd Jalil dilaporkan Sajat dikehendaki di Malaysia di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana dakwaan menghalang penjawat awam dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipan.

Sebelum ini, turut dilaporkan bahawa Sajat telah memohon status pelarian dari Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Bangkok untuk mendapatkan kebenaran berpindah dan berlindung di Australia.

Sumber: Malaysiakini




Sabtu, 16 Oktober 2021

Anwar tak setuju terima RM33.5k sebulan sebagai ketua pembangkang

 Anwar Ibrahim tidak setuju dengan gaji bulanan serta elaun yang akan diterimanya sebagai ketua pembangkang, selepas jawatan itu diberi kedudukan setaraf menteri.



Dalam kenyataan malam ini, Anwar yang merupakan pengerusi PH itu berkata dia akan menyalurkan wang tersebut kepada orang miskin.

Anwar berkata, berdasarkan surat tawaran oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, ketua pembangkang akan menerima gaji dan elaun bulanan sebanyak RM33,560.20 serta elaun pakaian berjumlah RM9,000 untuk tempoh tiga tahun.

Berikut gaji, elaun serta kemudahan lain yang akan diterima ketua pembangkang, menurut Anwar.

  • RM14,907.20 gaji bulanan
  • RM12,320 sebulan untuk elaun keraian
  • RM1,500 sebulan untuk bayaran khas
  • RM4,000 sebulan untuk elaun rumah
  • RM833 sebulan untuk elaun selenggara rumah
  • RM6,000 elaun pakaian panas (sekali dalam tiga tahun)
  • RM1,500 elaun pakaian upacara rasmi (sekali dalam tiga tahun)
  • RM1,500 elaun bayaran pakaian ‘black tie’ (sekali dalam tiga tahun)
  • Sebuah kereta rasmi serta penggunaan kenderaan peribadi untuk tugas rasmi

Beberapa kemudahan lain yang setaraf menteri tidak dapat saya terima sama sekali. Malah, saya akan menyalurkan dana tersebut untuk tabung rakyat miskin," katanya.

Dia juga berkata telah memberitahu pihak Parlimen untuk tidak membuat sebarang pengubahsuaian dan menyediakan peruntukan tambahan untuk pejabatnya.

Menjadikan kedudukan ketua pembangkang setaraf dengan menteri merupakan antara kandungan Memorandum Persefahaman (MOU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai PH dan kerajaan.

Anwar bagaimanapun tetap mengucapkan terima kasih kepada Ismail atas pengiktirafan itu serta langkah memperuntukkan pejabat dan kemudahan lain seperti pegawai untuk ketua pembangkang.

"Ingin ditegaskan bahawa pengiktirafan kepada pejabat ketua pembangkang ini tidak bermaksud kita akan mendukung apa sahaja dasar kerajaan tanpa soal.

"Seperti yang dinyatakan perdana menteri dalam surat kepada saya itu, keputusan ini tidak menjejaskan peranan ketua pembangkang. Saya akan tetap menjalankan tugas seperti sedia kala.

"Aspek semak imbang akan terus diperhebat bagi memastikan negara ini terus di landasan demokrasi," katanya lagi.






Rabu, 13 Oktober 2021

Anak buat hal, kontrak iklan Shah Rukh Khan mungkin dibatalkan

 NAMPAKNYA Kes dadah membabitkan anak pelakon terkenal Bollywood, Shah Rukh Khan iaitu Aryan Khan turut memberi kesan kepada karier bapanya.



Menurut laporan Hindustan Times, sebuah syarikat besar dikatakan bakal menarik semua kontrak iklan dengan aktor berkenaan.

The Economic Times juga melaporkan perusahaan teknologi itu sebelum ini telah membayar kontrak yang besar kepada Shah Rukh Khan.

"Syarikat berkaitan teknologi pendidikan itu telah menghentikan sementara semua promosi yang berkaitan dengan SRK. Boleh dikatakan mereka tak mahu lagi dilihat mempromosikan produk selepas terkait kontroversi," kata sumber.

Namun sehingga kini sumber belum dapat mengesahkan mengenai kesahihan khabar angin itu.

Lebih-lebih lagi, Shah Rukh Khan telah dilantik sebagai duta dan prosedur pembatalan kontrak memakan masa.

Sementara itu, wakil syarikat yang dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan itu.

Pada 3 Oktober lalu, Aryan bersama tujuh yang lain termasuk dua wanita ditahan anggota polis dari Biro Kawalan Narkotik (NCB) di sebuah kapal persiaran di pantai Mumbai pada Ahad.

Menurut The Times of India, NCB turut merampas 13 gram kokain, 21 gram charas (kanabis pekat), 22 pil methamphetamine, 5 gram dadah jenis mephedrone dan lebih 1.3 juta lakh rupee.

Mahkamah Mumbai menolak permohonan jaminan ke atas Aryan dan pemuda itu terus ditahan di bawah perintah penjagaan mahkamah (judicial custody) dan dihantar ke Penjara Arthur di Mumbai

Sabtu, 2 Oktober 2021

Sakit, kaki bengkak, Ustaz Kazim didakwa terkena sihir

 IPOH - Keluarga Datuk Mohd Kazim Elias tidak menolak dakwaan kesakitan yang dialami pendakwah terkenal itu ketika ini akibat terkena sihir.


Abangnya, Datuk Mohd Najmuddin Elias berkata, Mohd Kazim yang lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim menderita bengkak kaki sejak dua minggu lalu hingga menyukarkannya untuk berjalan.

Menurutnya, pakar perubatan yang ditemui bagi tujuan rawatan tidak dapat mengesan punca penyakit terbabit.

Ketika saya datang menziarahi Khamis lepas, beliau (Uztaz Kazim) telah menunjukkan beberapa keping gambar yang sepertinya ada unsur-unsur mistik ditemui di jalan yang menjadi kebiasaannya lalu di situ.

"Maka kami tidak menolak kemungkinan unsur (mistik) itu ada berdasarkan keadaan beliau, kami telah melakukan usaha cara perubatan Islam untuk merawatinya," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Beliau berkata, keadaan Ustaz Kazim ketika ini adalah stabil, tetapi masih memerlukan rawatan susulan di hospital.

Katanya, orang ramai diharap terus mendoakan kesihatan Ustaz Kazim kembali pulih dan dijauhi daripada perkara-perkara tidak diingini.

Jika benar berlaku unsur-unsur sihir ini, kami amat sedih dan kecewa kerana masih ada orang tergamak melakukannya.


"Sekiranya ada mana-mana individu yang tidak berpuas hati, eloklah datang berbincang dengan cara baik," katanya.

Sementara itu, menerusi perkongsian video 'live' di Facebook pada Khamis, Ustaz Kazim menunjukkan gambar kotak berisi objek yang ditemui di pusat pengajiannya.

Katanya, kotak itu berisi abu dan dalam abu berkenaan terdapat gambarnya yang dibakar, dijumpai di laluan tempatnya mengajar di Pusat Pendidikan al-Barakah di Manjoi.

"Saya tunjukkan sebagai satu pengajaran, kadang-kadang kita pun tak tau apa benda. Cuma kita pandang baik pada ALLAH SWT, ALLAH bagi ini nak naikkan darjat, nak hapuskan dosa kita. Insya-ALLAH, ALLAH maha mengetahui," kongsinya sambil memberitahu, kesakitan yang ditanggung tidak menghalang untuk terus mengajar dan mengadakan ceramah.

Mohd Kazim turut berkongsi keadaannya dirinya yang tidak dapat berjalan disebabkan bengkak kaki dan terpaksa menggunakan topang ketiak sebagai sokongan untuk berjalan.

Sakit kaki itu juga menyebabkan beliau terpaksa bersolat menggunakan kerusi roda.


Aliff menumpang di rumah saya atas izin ibunya – Sarah Yasmine

  KUALA LUMPUR – Enggan tindakan disalah erti, Sarah Yasmine membenarkan Aliff Aziz menumpang di rumahnya selama sebulan adalah demi memenuh...