Rabu, 28 Julai 2021

Caprice bidas tuduhan Ebit Lew

 Ekoran terlalu banyak ugutan diterima, penyanyi Caprice berkata, dia tidak mampu lagi berdiam diri serta perlu membongkar situasi yang didakwanya lebih tepat.

Dalam sebuah perkongsian dimuat naik melalui Instagram miliknya hari ini, Caprice menjawab tuduhan Ebit Lew berhubung reaksi dia menepis tangan pendakwah bebas itu yang disifatkannya sebagai fitnah.

“Caprice tidak boleh berdiam lagi dah. Terlalu banyak ugutan diterima. Justeru, terpulanglah, kita akan jelaskan satu demi satu setiap tuduhan.

“Tuduhan adalah satu jenayah dalam Islam, ia lebih teruk daripada membunuh. Insya-Allah, akhirnya, anda akan dapat melihat dan faham mengapa saya terluka," katanya.

Melalui postingnya yang dilabel sebagai "Fitnah 1" itu, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli memuat naik rakaman video bagi menjelaskan situasi tersebut.

Selain itu, Caprice, 32, berkongsi tangkap layar mesej perbualan melalui aplikasi WhatsApp bertarikh 1 Julai lalu berkaitan kebenaran untuk berkongsi video pertemuan mereka itu.

Terdahulu, Ebit meluahkan kekesalan terhadap kontroversi berhubung misi kemanusiannya yang dicetus Caprice melalui siaran langsung di Facebook baru-baru ini.

Untuk rekod, Caprice dituduh sengaja mengada-adakan cerita selepas Ebit membuat penjelasan terbuka berhubung pertemuannya dengan seorang menteri di sana.

Susulan itu, nama Caprice mengundang perhatian ramai termasuk kecaman kerana didakwa berbohong.

Pada masa sama, Caprice juga menyentuh penafian Ebit terhadap isu melutut dan mencium kaki seorang menteri di Palestin.

“Tentang isu melutut, apa dia janji kepada Caprice di hotel, dan apa berlaku di Gaza yang buat Caprice sakit hati semua akan dijawab.

“Saya minta maaf, tapi dah tak boleh terima caci maki lagi sementara orang-orang kuat susun strategi untuk sembunyi Caprice,” katanya.

Pada ruangan Insta Story pula Caprice turut berkongsi mesej yang dihantar kepada Ebit memohon pendakwah itu menjelaskan perkara sebenar namun tidak mendapat sebarang respons.

“Salam ustaz, minta tolong jelaskan sendiri isu melutut tu. Satu Malaysia dah caci maki Caprice sedangkan ustaz sendiri bagitahu dalam hotel yang terpaksa buat muka sedih dah melutut.

“Tak perlu terperinci, cuma bab tu saja. Caprice dah tak mahu bergaduh. Dah tak nak masuk campur dan laga-lagakan isu ni. Cuma nak habiskan misi Caprice,” kata mesej itu.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Aliff Aziz minta maaf(Video)

  [VIDEO] Gagal Tahan Sebak Minta Maaf Pada Isteri, Aliff Aziz Perjelas Tindakan Dedah Kes ‘Curang’ Bella Astillah… – “Masa Tu Saya Rasa Mar...