Maksud menyebarkan positiviti di media sosial ialah:
1. Cerita kebaikan, bukan keburukan.
2. Sebut fakta yang benar, betul, bukan direka-reka.
3. Sekiranya perkara itu hal buruk contohnya seperti mahu mengelak membeli barangan salah, timbang kilo, produk tak sah dan sebagainya, buat posting tips, buat #content langkah demi langkah mengelak, kaedah dan sebagainya, bukan memburuk tanpa fakta yang betul.
4. Sekiranya perkara itu jahat, jenayah dan sebagainya, tulis perkara yang boleh elak atau cegah atau kawal perkara itu berlaku. Teruskan menulis hal yang boleh memberi manfaat kepada audien bukannya menambah keburukan orang dengan membawa orang beramai-ramai komen membusuk di wall.
Ingat, hal jenayah adalah tugas penguasa untuk selesaikan. Kita hanya boleh tulis perkara yang beri pengajaran.
Sekiranya kita membawa orang memburuk sama-sama di ruangan komen, kita akan rasa agung, rasa berkuasa namun kita lupa perbuatan itu adalah berdosa.
5. Melawan perkara salah adalah positiviti di media sosial, namun tulisannya mesti membawa audien ke arah positif bukannya bergaduh dan memburuk orang lain.
6. Ramai yang beranggapan menulis hal melawan di media sosial adalah hal negatif. Namun jika ia ditulis dengan kritis sosial, membawa orang berfikir serta bijak dalam menggunakan perkataan dan ayat yang baik, akan membuat audien bertenang dan mahu melakukan kebaikan, ia bukannya menambah buruk.
7. Orang yang sedang marah, biasanya akan menulis keburukan orang, bukannya membawa orang lain cegah, rawat dan elak perkara buruk itu berlaku.
8. Contoh mudah, pergi ke restoran. Baru perasan restoran itu kotor selepas habis makan.
Orang yang kurang bijak akan ambil gambar dan viralkan di media sosial untuk menegur pemilik restoran.
Orang yang bijak akan tegur terus secara berdepan, kemudian akan memuat naik di media sosial cara nak pilih restoran bersih atau tak atau bagaimana nak kekalkan kebersihan di restoran atau bagaimana pelanggan boleh bantu kekalkan kebersihan di restoran tersebut.
Memuat naik #posting dalam keadaan rasional atau tidak akan menyebabkan kesan buruk atau kesan baik. Itu perkara biasa.
Kesan buruk; hancur bisnes orang.
Kesan baik; dapat baiki kesilapan semua orang.
Kita yang pilih yang mana bawa lebih banyak kebaikan, baru jadi luar biasa.
9. Ada banyak hal buruk berlaku sekitar hidup kita, kita yang pilih sama ada mahu bantu selesai atau mahu tambah buruk.
Untuk bantu selesaikan, buat posting “to educate.”
10. Kita tak baik mana, saya juga tak baik mana. Sekiranya kita mahu duduk dalam komuniti positif, tulislah perkara yang boleh membawa ke arah masyarakat yang positif.
Ianya adalah posting yang boleh mendidik, bukan mencela, memberi informasi bukannya menghina, juga menyebar inspirasi bukan menambah gaduh dan cerca.
Begitulah.
Saya bukan orang pandai, juga jauh dari banyaknya berbuat kebaikan, Allah simpan aib saya. Saya hanya berusaha menyampaikan ilmu untuk kita sama-sama lawan kejahatan, keburukan serta kerosakan dengan menulis teknik yang boleh dipraktikkan oleh semua orang.
Khairul Hakimin Muhammad,
❤️. https://t.me/ContentKHM