Kelas pagi semalam beri saya 1 jawapan yang agak best. Jujurnya saya datang ke sini urusan kerja, bukan nak hadir mana-mana kelas. Namun ada masa terluang, saya pergilah daftar dan alhamdulillah masih boleh sertai.
Ada peserta tanya, dia dah pergi beberapa kelas menulis, namun masih tak dapat like, komen dan share yang banyak seperti orang lain. Dia minta cikgu itu semak tulisannya.
Cikgu itu kata, “its great!” Dan beri komen semuanya bagus-bagus, langsung tak ada kritikan. Cikgu itu tanya, dah berapa lama kamu menulis?
Dia jawab, “baru 5 posting.” Dan semua orang ketawa di dalam kelas tersebut kecuali cikgu. Cikgu itu minta semua berhenti berjenaka. Dia pesan kepada kami semua:
“Keyakinan menulis dan berkongsi kebaikan itu bukan untuk kalian takut kalian tak dapat like, tak dapat komen tak dapat share.
Namun keyakinan itu ialah saya ok sahaja walau tak dapat apa-apa kerana saya yakin Tuhan ada untuk saya. Saya dah cuba, saya terus berusaha, sampai 1 destinasi, pasti akan ada yang boleh beri saya hasil.”
Semua terdiam dalam kelas tersebut. Cikgu itu bercerita tentang JK Rowling yang mana novel Harry Porter itu dibawa ke banyaknya penerbit namun tak ada 1 pun berhasil. Namun dia tetap percaya akan ada yang mahu lalu dia berjumpa walaupun memakan banyaknya masa dan dia sudah banyak kehabisan wang untuk proses itu.
Hasilnya hari ini, dia antara penulis yang menerima bayaran lebih 1 billion USD royalti sama ada dari buku dan filem.
Lebih dari itu, beliau menyalurkan 90% wang royalti yang diterima ke badan-badan kebajikan.
Kawan-kawan,
Menulis ini kerja susah. Nak cari #content juga benda sukar. Nak susun, nak bina, nak bangunkan, semuanya penat dan lelah.
Kemudian, akan bertemu banyaknya gagal dari berjaya. Namun, percayalah hasilnya yang dapat ubah diri orang, bantu kesusahan orang serta membuka banyaknya jalan, adalah dari penulisan.
Kekal berdiri teguh kawan-kawan, teruskan menulis kebaikan. Semoga Allah beri kita hadiah yang baik-baik juga. Kalau tidak di sini, pasti ada janjinya di sana.
Oh ya. Cikgu saya itu orang putih, dia sebut Tuhan, saya faham itu Allah, harap semua fahamlah. Nanti ada kecam dan persoal bukan-bukan pula. Hehe.
Begitulah. Pengalaman kecil sahaja. Mohon maaf jika ada yang tak suka.
Khairul Hakimin Muhammad,
Kenangan di Wembley, London tahun lepas.